Thursday, February 24, 2011

Harapan Tinggi Menggunung- Omar Mamat

 (Ni cerpen yang ditulis oleh mantan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG Kampus Bahasa Melayu, KL.. Tuan Haji Omar bin Mamat.. aq pun x taw bila cerpen ini ditulis.. tapi diterbitkan sebagai Antologi Cerpen Remaja)

Apa orang lain nak kata pun katalah. Amin tidak peduli. Dia bukannya mencuri, dan bukannya menipu orang lain. Dia buat kerja yang halal, kerjanya suci.

         Setiap pagi, sebelum masuk ke sekolah dia akan membimbit satu bakul yang penuh diisi dengan kuih-muih, dna tangan yang satu lagi membimbit beg yang penuh dengan buku-buku sekolahnya. Begitulah juga sewaktu tengah hari, selepas keluar dari bilik darjah,dia akan menuju ke kantin sekolahnya untuk membawa balik bakul tadi. Hanya dengan inilah sahaja, dia dapat membantu emaknya, adik-adiknya untuk mencari sesuap nasi, membeli pakaian sekolahnya dan juga buku-buku pelajaran.

         Pada siapa lagi hendak diharapkan. Bapanya telah lama meninggal dunia. Dia masih ingat, bagaimana sedihnya kematian yang meragut nyawa bapanya yang dikasihi itu. Sewaktu itu, bapanya turun untuk menangkap ikan di laut. Tiba-tiba bapanya telah terjatuh ke dalam gumpalan ombak yang tidak berhati perut dan berperikemanusiaan itu. Sampannya telah terbalik. Hampir tiga hari, barulah mayat bapanya ditemui dalam keadaan yang amat menyedihkan.

          Sejak dari itulah, dia yang paling tua dan ditambah pula, dialah anak lelaki yang tunggal dalam keluarganya, dengan sendirinya menjadi nombor dua dalam keluarganya sekarang. Setiap hari, setelah balik dari sekolah, dia akan membantu ibunya mencari kayu api, membersih kelapa atau mencari pisang. Dia membaca buku di samping menemani ibunya yang sibuk di dapur. Adik-adiknya tiga orang lagi itu, masih tidak tahu apa-apa pun seolah-olah turut mengerti atas keperitan hidup keluarganya.

         Mereka tidak pernah menyusahkan emaknya. Masing-masng seolah-olah tahu tanggungjawabnya sendiri. Antara mereka tidak pernah bermasam muka atau dengki antara satu sama lain. Keperitan hidup beginilah membuat harapannya berbakti kepada keluarganya kian menggunung. Dia akan membela nasib ibunya serta adik-adiknya juga. Harapan kini ditanam kukuh di lubuk hatinya.

        Satu masa, kawan-kawannya yang selalu menghinanya akan tahu juga. Dia akan membuktikan kepada mereka semua, anak yang miskin dan selalu membimbit kuih ini akan menjadi manusia yang berjaya. Dia akan menggembirakan hati keluarganya, membanggakan kampungnya dan bangsanya juga.
        Keazaman dan keyakinan inilah membuat dia lupa kepada segalanya. Dia tidak pernah mempunyai kawan selain daripada kawan-kawan di sekolah sahaja. Amin juga tidak pernah mengikut kawan-kawannya menonton wayang gambar atau bersiar-siar. Paling menghairankan, dia juga tidak perna berasa penat atau merehatkan dirinya. Ada-ada sahaja yang dibuatnya. Mak Esah ibunya, pernah menegurnya.

        "Min, kau tu nak periksa tidak lama lagi, janganlah tolong mak, biarlah mak buat seorang sahaja," kata Mak Esah dengan lembut sambil memasukkan tepung ke dalam daun pisang.
        "Tak mengapalah mak, Min tolong sekejap saja, waktu malam Min baca buku-buku ini semua," Amin cuba memujuk hati emaknya, di tangannya masih memegang buku bacaan.
        "Mak bombang, kalau-kalau fikiran Min terganggu nanti, susah nanti," balas Mak Esah dengan nada penuh keibuan.
        "Mak mahu kau lulus nanti, kalau kau lulus nanti bererti kejayaan Min sendiri di samping mak dan adik-adik Min juga."

           Tersirap rasa darah Amin. Betapa tingginya harapan ibunya untuk melihat kejayaannya. Kini, fikirannya sudah bulat. Dia bertekad di dalam hatinya, dia mesti lulus dan mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan SRP (PMR) yang tak lama lagi itu. Akhirnya, saat yang ditunggu-tunggu pun tibalah. Tanpa bertangguh lagi, selepas melihat keputusan dan mendapat kata-kata pujian daripada beberapa orang kawan serta guru besarnya, dia berlari-lari anak menuju ke rumahnya.
         
          Sesampainya di rumah, dia terus menerkam dan memeluk ibunya yang sedang menunggu kepulangannya di hadapan pintu rumahnya. Amin mencium kedua-dua tangan ibunya. Adik-adiknya turut sama menunggu melihat dengan penuh kehairanan.
Dengan berlinangan air mata, dia mendongak dan memandang tepat ke muka emaknya. Emaknya mengusap kepala dan badannya dengan penuh mesra. Di dadanya berombak dengan penuh persoalan.

"Saya, saya berjaya," bagai ditahan-tahan suaranya kerana bercampur dengan esakan dan air mata kegembiraan. Senyum yang sentiasa terukir di kelopak bibir Mak Esah kian nyata.

"Kau berjaya Min?" tanya Mak Esah seolah-olah menguatkan kenyataan Amin tadi.

Amin hanya menganggukkan kepalanya. Tidak tahu betapa gembira hatinya dan tidak tahu apa yang harus diucapkan lagi. "Syukurlah Min, Tuhan telah menolong kita semua Min, mak cukup gembira Min."

Air jernih kian lebat mengalir dari kelopak mata Amin,bebola matanya berlari di antara muka ibu dan adik-adiknya yang juga tersenyum sama.
"Tapi mak,"
"Sudahlah Min, mak faham, kau susah hati kerana ayah kau tidak turut melihar kejayaan kau, Min."
"Bukan begitu mak," terlalu berat baginya untuk menyampaikannya. Dia tidak mahu melihat emak dan adik-adiknya yang tercinta akan kehilangan seorang lagi orang yang dikasihi di dalam rumah ini.
"Apa dia Min?" suara emaknya seolah-olah tidak sabar lagi melihat perangai Amin begitu.
" Saya akan tinggalkan rumah ini, saya akan dihantar belajar ke ibu negara, mak." Selepas itu, dia menjatuhkan mukanya di atas ribaan emaknya. Ibunya ketawa, dengan perlahan mengangkat badan Amin.
"Pergilah Min, mungkin harapan yang kau harapkan selama ini tercapai di sana nanti. Jangan susah hati pada mak dan adik-adik, mak masih kuat, biarlah mak yang jaga adik-adik semua, Min." kata Mak Esah seolah-olah memberi perangsang kepada Amin.

Malam itu, rumahnya dikunjungi oleh jiran dan kawan-kawan sekolah Amin. Esok, Amin akan pergi meninggalkan semua. Pergi untuk mengejar cita-citanya dengan harapan yang menggunung tinggi.

4 comments:

  1. Harapan aku juga setinggi gunung Kinabalu. Nak jadi macam En. Omar. Tapi kena sediakan peralatan yang mencukupi sebelum berjaya sampai ke puncak. Huhu

    ReplyDelete
  2. Harapan aku: terlalu byk... huhuhu.... tp memadai kalau aku dpt meneruskan hidup ini dgn kecerian & mendapat keredhaanNya..... Like.. Santai...

    coretan: http://santaileeza.blogspot.com/

    ReplyDelete
  3. aq juga m'punyai hrpn yg tggi... arap2 semua impian kita itu akan menjadi kenyataan... ana, aq tau ang bole jd mcm en.omar.. ang ada bakat..hooho.. like it liza..santai..=)

    ReplyDelete
  4. adakah saudari tahu dalam antologi mana yang menerbitkan cerpen ini. saya berhasrat untuk mencarinya.

    ReplyDelete